Berita

PDRM LANCAR JUALAN “BUKU MES PDRM ERA 100 TAHUN” MARTABATKAN PASUKAN POLIS

Kuala Lumpur, 2 Mei 2019 – Sebagai usaha memartabatkan institusi pasukan melalui sorotan sejarah kewujudan Mes Pegawai Kanan Polis sejak tahun 1914, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jawatankuasa Mes telah melancarkan penjualan “Buku Mes PDRM Pada Era 100 Tahun” yang dirasmikan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu majlis di Dewan Theatrette, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sebentar tadi.

Terdahulu, pelancaran buku tersebut telahpun disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah pada 29 Mac lalu.

Buku setebal 330 muka surat itu akan membawa para pembaca mengimbau kembali fasa-fasa evolusi yang mencakupi sejarah penubuhan Mes dan fungsinya dalam mengeratkan semangat ‘esprit-de-corp’ dan ‘brotherhood’ di kalangan warga PDRM.

Selain itu, gaya persembahannya yang berkonsepkan pictoral juga mampu membangkitkan minat pembaca untuk menatap setiap helaian yang sarat dengan pelbagai mesej yang tersendiri.

Tan Sri Mohamad Fuzi dalam ucapan perasmiannya berkata, karya khas tersebut mampu membangkitkan rasa bangga, semangat patriotisme dan setia kawan khususnya dalam kalangan warga PDRM.

“Di samping itu, ia dapat mengabadikan sejarah sebuah tradisi yang hanya wujud di kalangan ‘regimented institutions’ seperti PDRM,” ujar Tan Sri Mohamad Fuzi.

Beliau juga berharap agar buku tersebut dapat digunakan sebagai bahan rujukan oleh masyarakat umum di mana sebanyak lima naskah akan ditempatkan di Perpustakaan Negara Malaysia.

Buku berharga RM250 itu telah mula dijual kepada umum bermula hari ini dan boleh didapati di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman. Orang ramai yang berminat untuk mendapatkannya boleh menghubungi talian 03-2266 8503.

Turut hadir dalam majlis tadi ialah Pengerusi Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) Berhad, Dato’ Seri Ayub Yaakob, Timbalan Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA), Dato’ Mangsor Ismail, barisan pengarah PDRM, para pegawai kanan polis, wakil daripada RESPA dan KPDRM Berhad serta rakan media.

Image may contain: 1 person, standing
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun merasmikan Majlis Pelancaran Jualan “Buku Mes PDRM Pada Era 100 Tahun”.

Image may contain: 2 people, text
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun merasmikan Majlis Pelancaran Jualan “Buku Mes PDRM Pada Era 100 Tahun”.

Image may contain: 3 people, indoor
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun menurunkan tandatangan pada Buku Mes PDRM Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato' Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani.

Image may contain: 1 person, standing
Ucapan Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun.

Image may contain: indoor
“Buku Mes PDRM Pada Era 100 Tahun”


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS