Berita

OP NYAH 1 SELANGOR: BRIGED TENGAH PATAHKAN DUA SINDIKET PENYELUDUPAN ORANG, 67 PATI DITAHAN

Kuala Langat, 2 Jun 2019 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Unit Risik Batalion 4, Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya melumpuhkan dua sindiket penyeludupan manusia yang membawa 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini, dalam dua operasi berasingan menerusi Op Nyah 1, dekat perairan Tanjung Sepat, di sini pada bulan lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato' Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani berkata, kesemua PATI yang ditahan merupakan warga Bangladesh dan Myanmar manakala dalangnya terdiri daripada warga tempatan serta Indonesia.

Menurut Dato' Sri Acryl Sani, sindiket pertama yang didalangi tiga warga Indonesia itu berjaya dipatahkan anggota PGA setelah dua bot pancung membawa 54 PATI ditahan di tepi Pantai Tanjung Sepat, pada pukul 6.00 pagi, awal bulan Mei lalu.

"Kesemua yang ditahan merupakan sepuluh warga Myanmar (tiga lelaki dan tujuh wanita dewasa) serta 44 lelaki dewasa warga Bangladesh. Turut dirampas adalah kedua-dua bot yang digunakan bagi tujuan penyeludupan.

"Hasil siasatan, 52 daripada mereka telah berjaya dituduh di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959 dan bakinya diusir pulang ke negara asal kerana masih di bawah umur.

“Turut dituduh, tiga tekong warga Indonesia di bawah Seksyen 26(J) Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," ujarnya dalam satu sidang media di Markas Tektikal (Martek) Morib, hari ini.

Dato' Sri Acryl Sani juga memaklumkan, sindiket kedua didalangi dua warga tempatan pula berjaya dibongkar anggota PGA yang mengesan dua buah teksi pelbagai guna (MPV) warna emas dalam keadaan mencurigakan di kawasan tepi kubur orang asli Tanjung Sepat, pukul 2.00 pagi 28 Mei lalu.

"Sepasukan anggota berjaya menahan kedua-dua teksi tersebut yang dipandu warga tempatan itu kemudiannya menemui 11 lelaki warga Myanmar dan dua lelaki Bangladesh tanpa dokumen pengenalan diri.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012," ujar beliau lagi.

Dalam perkembangan lain, sejumlah 3,100 karton rokok seludup berjaya dirampas daripada sebuah van di ladang sawit Sungai Judah, Pulau Carey, dekat sini pada pukul 6.30 pagi, 22 Mei lalu sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

Beliau dalam sidang media tadi, menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat jenayah agar terus menyalurkannya kepada pihak polis bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh PATI dan sebarang aktiviti penyeludupan.

Terdahulu, beliau yang membuat lawatan kerja ke pos Tanjung Sepat, Kundang dan Tanjung Layang turut ditaklimatkan berkenaan keadaan keselamatan sebelum menghadiri majlis tahlil ringkas serta penyerahan sumbangan kuih raya dan diakhiri dengan jamuan berbuka puasa bersama warga PGA di Martek Morib.

Turut hadir, Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), DCP Dato' Mastor Mohd Arif, Timbalan Pengarah KDNKA (Kepolisan Am), DCP Dato’ Zulkifli Haji Salleh, Komander Briged Tengah, SAC Haji Abd Ghani Mohamad Ji, SAC Perisikan dan Siasatan Khas Jabatan KDNKA, SAC Oii Kee Heng serta rakan-rakan media.


Image may contain: 3 people, people smiling
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato' Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani menandatangani buku pelawat.
Image may contain: 1 person, standing, sky, tree, cloud and outdoor
Sekitar lawatan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato' Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani ke Pos Tanjung Sepat.
Image may contain: 8 people, people smiling, people standing and outdoor
Sesi penyampaian cenderahati.
Image may contain: 1 person, sitting and outdoor
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato' Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani memeriksa keadaan Pos Kundang.
Image may contain: 6 people
Sesi penyerahan sumbangan kuih raya oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato' Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS