Berita

OP SELAMAT 15/2019: KECUAIAN PEMANDU PUNCA UTAMA KEMALANGAN MAUT


Kuala Lumpur, 19 Jun 2019 - Analisis Op Selamat 15 yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa faktor kecuaian sendiri merupakan punca utama kemalangan maut dalam kalangan pengguna jalan raya sepanjang tempoh tersebut.

Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Pahlawan Mazlan Mansor berkata, analisis tersebut turut mentafsirkan sikap kecuaian pemandu masih menjadi penyumbang tertinggi kes kemalangan iaitu sebanyak 10,271 kes, manakala faktor terbabas sendiri merupakan punca utama kemalangan maut dengan catatan sebanyak 92 kes.

Tambahnya, jumlah kemalangan sepanjang Op Selamat 15/2019 sempena sambutan Aidilfitri yang berakhir 12 Jun lalu meningkat kepada 24,461 kes berbanding 22,411 kes pada Op Selamat 13/2018 tahun lalu.

"Kes kemalangan maut pula direkodkan menurun sebanyak tiga kes, di mana sejumlah 232 kes direkodkan berbanding sebanyak 235 kes," ujarnya lagi.

Pengguna motosikal kekal menjadi penyumbang utama kes kematian dengan catatan sebanyak 158 kes, kereta (60 kes), lori (lima kes), basikal (empat kes) dan lain-lain sebanyak enam kes.

Op Selamat 15/2019 ini juga turut merekodkan peningkatan jumlah pengeluaran saman atas pelbagai kesalahan iaitu sebanyak 350,537 saman berbanding 343,863 saman pada Op Selamat yang lalu.

Dato' Pahlawan Mazlan turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Telekom Malaysia Berhad (TM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak Berkuasa Tempatan, Kementerian Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), St. John Ambulans Malaysia dan konsesi-konsesi lebuh raya yang bersama-sama menjayakan kempen Op Selamat kali ini.

Dalam perkembangan yang lain, bersempena Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 15/2019 hari ini, Kontinjen Kedah dinobatkan sebagai kontinjen/daerah terbaik Op Selamat 15/2019, disusuli oleh Kontinjen Terengganu dan Kontinjen Kuala Lumpur manakala bagi peringkat daerah pula, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban diumum sebagai daerah terbaik, IPD Ampang dan IPD Besut masing-masing di kedudukan kedua serta ketiga.

Turut hadir, Pengerusi TM, Tuan Haji Rosli Man, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), CP Dato’ Sri Rosli Ab Rahman, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, DCP Dato’ Azisman Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Dato’ Noor Kamarul Anuar Naruddin, barisan pengarah PDRM, Ketua-ketua Jabatan dan agensi kerajaan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pegawai Kanan PDRM, Agensi-agensi penyelamat serta wakil media.

Imej mungkin mengandungi: 12 orang, orang senyum, orang berdiri dan dalaman
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Pahlawan Mazlan Mansor bergambar kenangan bersama penerima anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 15/2019 Sempena Hari Raya Aidilfitri.

Imej mungkin mengandungi: 2 orang, luaran
Ketibaan Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Pahlawan Mazlan Mansor di Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 15/2019 Sempena Hari Raya Aidilfitri.

Imej mungkin mengandungi: 3 orang, dalaman
Nyanyian lagu Negaraku.

Imej mungkin mengandungi: 3 orang, orang duduk, orang berdiri, sut dan dalaman
Kontinjen Kedah dinobatkan sebagai johan bagi kategori peringkat kontinjen sempena Op Selamat 15/2019.

Imej mungkin mengandungi: 5 orang, orang senyum
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dinobatkan sebagai johan bagi kategori peringkat daerah sempena Op Selamat 15/2019.


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS