Berita

ISU BASIKAL LAJAK DI ATAS LEBUH RAYA: KENYATAAN MEDIA KJSPT N.SEMBILAN

Pada 8 September 2019 jam lebih kurang 11.00 pagi, telah berlaku penularan satu video di laman media sosial Facebook yang dirakam oleh orang awam berkenaan kegiatan basikal lajak melibatkan sekumpulan budak lelaki di Lebuhraya LEKAS, susur masuk ke Ampangan.

Aktviti ini kelihatan berlaku pada waktu tengahari melibatkan sekumpulan orang budak lelaki menunggang basikal lajak dengan melakukan aktiviti "superman" dalam keadaan laju menuruni lebuhraya.

Lebih membimbangkan, aktiviti merbahaya ini dilakukan di sepanjang lebuhraya tanpa menghiraukan kenderaan-kenderaan yang lain. Disamping itu juga, tiada sebarang mekanisma keselamatan yang diambil kira dalam aktiviti ini seperti penggunaan basikal asas yang selamat, pemakaian gear berbasikal yang betul, serta pengawasan orang yang lebih dewasa.

Adalah diingatkan bahawa pihak Polis akan mengambil tindakan yang tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dengan kesalahan berkaitan basikal lajak. Pesalah boleh diambil tindakan di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959(LN166/59) dan boleh dikenakan denda maksima sehingga RM2,000.

Sekiranya individu-individu pesalah ini masih lagi di bawah umur, Ibu bapa terhadap pesalah juga boleh dikenakan tindakan dibawah Sek 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Pengabaian penjagaan kanak kanak, dimana hukuman boleh dikenakan denda sebanyak RM20,000 dan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun.

Ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka. Segala aktiviti anak-anak haruslah diperhatikan dan diambil serius supaya anak-anak mereka tidak terlibat dengan aktiviti yang merbahaya seperti ini, kerana ianya bakal mengundang padah pada anak-anak dan pengguna jalan raya yang lain.

Terima kasih.

PENGUATKUASAAN TERHADAP PENGGUNA BASIKAL LAJAK

Kesalahan-kesalahan yang boleh diambil tindakan terhadap pengguna basikal lajak adalah dibawah kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) seperti berikut :

1.1 Kaedah 35 (1) - Tidak pasang lampu hadapan dan belakang malam hari.

1.2 Kaedah 35(2) - Tidak pasang lampu cahaya putih bahagian hadapan malam hari.

1.3 Kaedah 35(3) - Tidak pasang lampu merah bahagian belakang malam hari.

1.4 Kaedah 35 (4) - Memasang lampu hadapan selain dari bercahaya putih malam hari.

1.5 Kaedah 42 (1)(a) - Basikal tidak dilengkapi break dan loceng.

1.6 Kaedah 42 (1)(b) - Menunggang dengan tidak bercelapak di atas pelana.

1.7 Kaedah 42 (1)(c) - Menunggang dengan tanpa memegang handel.

1.8 Kaedah 42 (2) - Menunggang dengan membawa penumpang.

1.9 Kaedah 42 (3) - Menunggang secara bersaing.

1. 10 Kaedah 42 (4) - Menunggang dengan menutup kepala atau muka yang boleh menghalang penglibatan.

https://www.facebook.com/watch/?v=2532787783442734
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS