Berita

JSJN BUKIT AMAN DAN KONTINJEN PERAK GEMPUR MAKMAL DADAH HEROIN DI IPOH


#WarAgainstDrugs

Ipoh, 25 November 2019 - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman menumpaskan sindiket dadah jenis heroin dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Klebang, di sini, Jumaat lalu, yang dijadikan makmal memproses bahan terlarang itu.

Dalam serbuan jam 6.25 petang itu, turut ditahan lima suspek, termasuk seorang wanita yang disyaki anggota sindiket berkenaan.

Pengarah JSJN Bukit Aman, CP Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata dalam serbuan itu yang turut membabitkan kerjasama JSJN Perak, pihaknya merampas 43.5 kilogram heroin bernilai kira-kira RM603,000 mengikut pasaran semasa.

“Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan pelbagai peralatan digunakan untuk memasak dadah, selain wang tunai, jam tangan, barang kemas dan kenderaan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM379,000,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Katanya, serbuan itu adalah susulan maklumat risikan, termasuk intipan yang dijalankan ke atas sindiket berkenaan sejak tiga minggu lalu.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini sudah beroperasi lebih dari tiga minggu dan kesemua dadah diproses adalah untuk pasaran tempatan. Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seskyen 3(1) ADB Langkah- Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya.

Katanya, kesemua berusia antara 25 hingga 50 tahun itu direman selama enam hari untuk siasatan lanjut, termasuk mengenal pasti dari mana bekalan dadah berkenaan diperolehi, selain rangkaian pengedaran mereka.

“Dua dari suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah, manakala dua suspek, termasuk wanita berkenaan didapati positif dadah jenis Opiat,” katanya.

Sementara itu, Datuk Mohd Khalil berkata, pihaknya berjaya melumpuhkan 1,470 pengedar dadah di seluruh negara sehingga kini, malah beliau menyatakan komitmen jabatannya untuk terus memerangi kegiatan jenayah berkenaan.

Sumber: Berita Harian Online

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/11/631929/bukit-aman-gempur-makmal-heroin?fbclid=IwAR0AxxJ6hCyuHhSGECRei_mLUh6J5hxZPxPJxtdNMOkodog3Be52DtlrcrA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS