Berita

PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA SEMPENA SAMBUTAN PESTA KAAMATAN DAN HARI GAWAI TAHUN 2020

PERUTUSAN SEMPENA SAMBUTAN PESTA KAAMATAN DAN HARI GAWAI TAHUN 2020

Salam Sejahtera dan Salam Permuafakatan.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan (Tadau Kaamatan) dan Hari Gawai kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta seluruh rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat berketurunan Kadazan-Dusun dan Dayak di Sabah dan Sarawak yang meraikannya.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, kedua-dua perayaan ini disambut dalam normal baharu yang terikat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Dalam keredaan menerima dugaan yang dihadirkan oleh Yang Maha Esa, saya yakin kemeriahan Pesta Kaamatan (Tadau Kaamatan) dan Hari Gawai tahun ini, tetap dirasai serta dihayati dengan penuh kesyukuran atas nikmat yang dianugerahkan.

Bagi anak-anak Borneo yang terpaksa menyambut perayaan kali ini di Semenanjung Malaysia, percayalah bahawa tiada yang asing di bumi Malaysia ini, kerana “perpaduan dalam kepelbagaian” menjadi tunjang permuafakatan rakyatnya yang berbilang kaum.

Berbanggalah kerana menjadi ‘duta kecil’ yang berperanan mengangkat identiti masyarakat pribumi Borneo, serta mengembangkan lagi keindahan budaya serta keunikan amalan turun-temurun masing-masing, untuk sama-sama dihayati oleh masyarakat di Semenanjung.

Malaysia adalah sebuah negara yang harmoni dan rakyatnya mampu untuk berlayar dalam satu bahtera yang sama, meskipun terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama.

Justeru, sama-samalah kita berusaha untuk memastikan perpaduan kaum yang kita nikmati selama ini, kekal utuh dan berpanjangan.

Marilah kita menanamkan sikap positif dan meyakini hikmah di sebalik setiap ujian yang sedang dihadapi ketika ini. Pada masa sama, teruskanlah berdoa semoga krisis COVID-19 ini segera berakhir, sekali gus membolehkan kita menjalani kehidupan seperti sedia kala.

“Selamat Menyambut Hari Kaamatan dan Hari Gawai Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan, Gayu Guru Gerai Nyamai”

(TAN SRI DATO’ SERI ABDUL HAMID BIN BADOR) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia


Sumber: Abdul Hamid Bador


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS