Kejayaan

Lima Remaja Aktif Curi Motosikal Ditahan Di Butterworth

Butterworth, 29 April - Lima remaja lelaki yang disyaki geng curi motosikal ditahan selepas polis menyerbu rumah seorang daripada mereka di Padang Bengali di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata lima remaja berusia 16 hingga 20 tahun dan tidak lagi bersekolah itu ditahan secara berperingkat di sekitar kawasan Teluk Air Tawar di sini, semalam.

"Kami menyerbu rumah seorang daripada lima remaja terbabit pada pukul 5 pagi dan menemui pelbagai komponen serta alat ganti motosikal yang disyaki dicuri kumpulan itu di kediaman berkenaan.

"Susulan penahanan remaja berusia 16 tahun itu, polis menahan empat rakannya dan menemui beberapa rangka motosikal yang dipercayai telah dileraikan untuk dijual.

Katanya kumpulan itu turut membawa polis ke Sungai Abdul, tidak jauh dari kawasan rumah mereka dan polis turut menemui semula sejumlah rangka motosikal yang dibuang dalam sungai berkenaan.

Abdul Rahman berkata kumpulan itu dipercayai mencuri motosikal di kawasan pusat membeli belah dan meleraikan komponennya sebelum menjual kepada pihak tertentu dengan harga murah.

"Kegiatan mencuri motosikal kumpulan itu terbongkar apabila penduduk kampung mula mengesyaki sesuatu selepas mereka yang dari keluarga susah mampu berbelanja mewah menyebabkan penduduk kampung memaklumkan pergerakan kumpulan itu kepada polis," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mereka dipercayai aktif menjalankan kegiatan mencuri motosikal sejak awal tahun ini.

Dua daripada yang ditahan itu positif dadah, katanya. 

Sumber : BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS