Kejayaan

CURI MOTOSIKAL: POLIS KUBANG PASU TAHAN LIMA ANGGOTA GENG BEDUL

Jitra, 24 Ogos - Polis Daerah Kubang Pasu menahan lima suspek
berumur lingkungan 17 hingga 22 tahun yang terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar daerah itu.

Ketua Polis Daerah Superintenden Abd Rahim Abdullah berkata kesemua suspek, dipercayai daripada Geng Bedul, adalah hasil tangkapan terdahulu dua suspek berusia 20 tahun pada 20 Ogos lepas kira-kira pukul 5 petang.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut, pihaknya menahan tiga lagi anggota kumpulan itu sebelum menjumpai empat rangka motosikal, empat enjin serta beberapa komponen di Kuala Sungai, Alor Setar.

"Seorang suspek berusia 20 tahun, yang juga penganggur, turut mengakui terlibat dalam 11 kes curi motosikal di kawasan Jitra dan Alor Setar," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu hari ini.

Abd Rahim berkata kumpulan itu dipercayai aktif sejak dua tahun lepas dan menyasarkan motosikal popular seperti Honda EX-5 untuk dicuri sebelum dilerai menjadi komponen kecil sebelum membuang rangka kenderaan berkenaan ke dalam sungai.

Abd Rahim berkata lima suspek terbabit ditahan reman bermula Khamis lepas sehingga hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya menahan seorang pengedar dadah dan merampas heroin seberat 45 gram di kawasan belukar di Kampung Darat, Changloon pada kira-kira 10.15 pagi, Sabtu lepas.

Katanya, serbuan dilakukan enam anggota dari Balai Polis Changloon yang turut menahan sepuluh penagih dadah berusia lingkungan 19 hingga 40 tahun di kawasan itu, dipercayai pelanggan suspek.

Beliau berkata suspek, yang juga penganggur, memiliki empat kesalahan lampau pada 2013 dan dia ditahan reman mulai hari ini hingga 30 Ogos bagi membantu siastan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS