Kejayaan

EMPAT LELAKI DITAHAN CURI MOTOSIKAL

EMPAT LELAKI DITAHAN CURI MOTOSIKAL 

KOTA KINABALU, 28 Ogos - Polis Kota Kinabalu memberkas empat lelaki termasuk seorang yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri kerana disyaki mencuri motosikal dalam dua kejadian berasingan di sekitar sekitar bandar raya ini Selasa dan Rabu lepas. 

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP M.Chandra berkata Selasa lepas, seorang lelaki berusia 30 tahun yang tidak mempunyai pengenalan diri ditahan di sebuah bengkel di Jalan Lintas Luyang kira-kira pukul 6.30 petang. Namun seorang lagi berjaya melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan di dalam bengkel itu, polis mendapati tiga buah motosikal bersama beberapa komponen dan pelbagai peralatan pembuka motosikal," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata suspek gagal memberi penjelasan yang munasabah berkaitan barang kes yang dijumpai itu.

Semalam pula, polis menemui tiga lelaki yang berusia dalam
lingkungan 19 hingga 23 tahun yang dalam keadaan mencurigakan menaiki dua buah motosikal di Jalan Tuaran Lama Likas kira-kira 2.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan terhadap salah sebuah motosikal mendapati enjinnya telah diubah suai dan berdasarkan keterangan lisan ketiga-tiga suspek, mereka gagal memberikan keterangan yang memuaskan dan motosikal tersebut disyaki motosikal curi," kata Chandra.

Beliau berkata kesemua dan barangan rampasan termasuk motosikal terbabit dibawa ke Balai Polis Karamunsing untuk tindakan selanjutnya. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS