Kejayaan

POLIS TAHAN LELAKI MILIKI SENJATA, PELURU DAN DADAH DI SUNGAI PETANI

Alor Setar, 30 Ogos - Polis menahan seorang lelaki dan merampas
sepucuk submesin-gan serta 200 butir peluru dan sembilan bungkusan dadah di dalam kereta yang dipandunya di Jalan Badlishah, Sungai Petani semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata lelaki berusia awal 30-an itu ditahan pukul 6 petang Jumaat, oleh Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang menjalankan rondaan di lokasi berkenaan.

"Semasa unit MPV membuat rondaan di sekitar Sungai Petani, anggota polis telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback yang berada dalam keadaan mencurigakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Suspek diarah berhenti tetapi telah memecut melarikan diri ke arah Tol Sungai Petani Utara dan apabila sampai berhampiran IPD Kuala Muda, suspek tidak dapat bergerak kerana keadaan jalan raya sibuk.

Beliau berkata:"Suspek telah melanggar dua buah kereta ketika cuba meloloskan diri dan anggota kita telah melepaskan dua das tembakan ketika suspek cuba keluar dari kereta untuk mengelak daripada ditangkap."

Katanya, hasil pemeriksaan ditemui sepucuk submesin-gan dan 200 peluru jenis 38 dan 4.5 mm di dalam beg kain selain lapan paket dadah jenis heroin seberat 428 gram dan satu paket syabu seberat satu gram di kerusi penumpang belakang.

Ahmad berkata pemeriksaan juga mendapati suspek yang bergerak secara bersendirian itu positif dadah dan dipercayai telah mendapatkan bekalan senjata api dan peluru dari negara jiran untuk diedarkan di sekitar Sungai Petani

"Suspek telah ditahan reman bermula hari ini hingga 5 September bagi siasatan lanjut dan suspek akan didakwa di bawah empat Seksyen yang melibatkan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti) Lebih Berat 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana mencuba membunuh orang," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata pihaknya juga telah menahan tiga lelaki berumur antara 20 hingga 24 tahun dalam dua kes samun yang berlaku di Jalan Datuk Kumbar dan Pendang pada awal pagi tadi.

"Pada pukul 7.45 pagi tadi, kereta jenis Kenari milik seorang wanita telah disamun di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Datuk Kumbar dan pihak polis telah pun dimaklumkan dan pada pukul 10 pagi kumpulan yang sama telah menyamun seorang lagi mangsa wanita di Pendang dan melarikan dua buah telefon bimbit. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS