Kejayaan

POLIS SERBU PREMIS JUDI SIMULATOR, TAHAN 10 ORANG DI BAYAN LEPAS

POLIS SERBU PREMIS JUDI SIMULATOR, TAHAN 10 ORANG DI BAYAN LEPAS

George Town, 22 Sept - Polis menyerbu sebuah premis menawarkan permainan judi simulator tidak berlesen dan menahan 10 orang termasuk dua wanita di Sungai Ara, Bayan Lepas di sini hari ini. 

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata mereka yang ditahan dalam operasi pukul 3 petang itu terdiri daripada dua wanita wargaIndonesia, seorang lelaki Indonesia dan tujuh lelaki tempatan berusia 29 hingga 64 tahun.

"Ketika serbuan, lapan lelaki terbabit didapati sedang leka berjudi manakala dua wanita berkenaan dikenal pasti sebagai penjaga premis itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Beliau berkata polis turut merampas lapan unit mesin judi simulator pelbagai saiz dan jenis dianggar bernilai RM500,000 dengan kadar pertaruhan ditetapkan serendah RM10. 

Lai berkata sejak Januari sehingga semalam, polis telah memeriksa 613 premis serta menahan 177 pemain judi serta penjaga selain merampas 800 set komputer yang diubah suai menjadi mesin judi 

Sementara itu, enam premis judi masing-masing empat di kompleks beli-belah di Jalan Datuk Keramat dan dua di Air Itam di sini dipotong bekalan elektrik mulai hari ini selepas beberapa kali diserbu pihak berkuasa. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata operasi bermula pukul 10 pagi itu dilakukan dengan kerjasama Tenaga Nasional Bhd (TNB) Pulau Pinang mengikut Seksyen 21A (1) Akta Premis Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001). 

"Polis memandang serius berkenaan lot kedai yang asalnya disewa untuk perniagaan sah ditukar kepada premis judi. Justeru tindakan pemotongan ini diharap dapat menghalang kegiatan itu beroperasi semula pada masa depan," katanya kepada pemberita. 

Beliau berkata dalam tempoh kurang daripada sebulan ini sebanyak 19 premis judi di sekitar Daerah Timur Laut telah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS