Kejayaan

POLIS KELANTAN TUMPASKAN SINDIKET PENGEDARAN DADAH

POLIS KELANTAN TUMPASKAN SINDIKET PENGEDARAN DADAH

KOTA BHARU, 14 Dis - Polis percaya dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah sintetik di Kelantan apabila menahan dua pasang suami isteri dan merampas 1,000 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM25,000 di Kampung Terusan Limbat di sini, pada Rabu lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, polis pada mulanya menyerbu sebuah rumah di kampung itu dan menahan keempat-empat suspek pada 2.45 pagi sebelum membuat pemeriksaan dalam sebuah kereta Perodua Kancil yang dimiliki seorang daripada suspek.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta itu, polis menemui dadah jenis pil kuda yang diletakkan pada bahagian tempat duduk penumpang depan.

"Pemeriksaan dalam sebuah bilik di rumah berkenaan pula membawa kepada penemuan sejumlah wang tunai pelbagai nilai disyaki hasil jualan dadah berjumlah RM84,557," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata keempat-empat suspek yang ditahan berusia antara 21 dan 25 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Modus operandi pengedaran dadah itu ialah dengan berselindung sebagai penjual burger di kawasan berhampiran kerana seorang daripada suspek berniaga burger manakala yang lainnya tidak bekerja," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis turut menahan dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun berkaitan dadah dalam dua operasi berasingan semalam.

"Suspek berusia 20 tahun itu ditahan di sebuah rumah berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Pintu Pong di sini pada 12 tengah malam dan pemeriksaan membawa kepada penemuan 200 biji pil kuda yang disembunyikan di poket seluar.

"Suspek berusia 19 tahun pula ditahan pada 1.30 pagi di Kampung Cherang, Kota Bharu dan membawa tiga paket plastik yang mengandungi 594 biji pil kuda yang diletakkan di dalam raga motor," katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Mereka kini direman untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata pihaknya percaya sindiket pengedaran pil kuda ini bergiat aktif di sekitar daerah Kota Bharu, Bachok, Tumpat dan Pasir Mas sejak enam bulan lalu.

"Kita akan membanteras aktiviti pengedaran dadah di negeri ini dan saya berterima kasih kepada orang ramai yang telah menyalurkan maklumat kepada pihak polis," katanya. - BERNAMA
 
 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS