Kejayaan

ROKOK DAN MINUMAN KERAS BERNILAI RM1.05 JUTA DIRAMPAS DI KUALA KEDAH

Alor Setar, 15 Dis - Polis Marin merampas 180 kotak rokok dan 45 kotak minuman keras bernilai RM1.05 juta termasuk cukai dalam satu operasi di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Kedah di sini hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, seorang pemandu lori, berusia 55 tahun ditahan ketika dalam perjalanan dari Kuala Kedah ke Alor Setar untuk menghantar barangan seludup tersebut.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi, DSP Rodzi Abu Hassan berkata rokok dan minuman keras itu dibawa dari Langkawi ke pelabuhan Kuala Kedah dengan menggunakan bot kargo.

Katanya, lelaki itu turut meletakkan bakul buah-buahan pada bahagian belakang lori tersebut bertujuan untuk melindungi barangan seludup itu daripada dikesan pihak berkuasa.

"Rokok dan minuman keras seludup itu untuk pasaran sekitar negeri ini," katanya pada sidang media di Balai Polis Kuala Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata suspek disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum 20 kali ganda nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali.- BERNAMA


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS