Kejayaan

POLIS LUPUS 786 KOMPUTER BERNILAI RM1.2 JUTA

POLIS LUPUS 786 KOMPUTER BERNILAI RM1.2 JUTA

KEPALA BATAS, 30 Dis - Sebanyak 786 unit komputer bernilai RM1.2 juta yang diubah suai dan dipasang dengan permainan judi, dilupuskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), hari ini.

Ketua Polis Daerah SPU ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata pelupusan komputer melibatkan 57 kertas siasatan dari 2010 hingga 2014 itu dibuat, setelah mendapat perintah mahkamah.

"Tahun ini sahaja, 12 kertas siasatan kes mesin judi telah selesai
melibatkan 195 komputer," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata semua peralatan itu disita menurut kesalahan di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan dan pihaknya akan terus menggempur aktiviti perjudian haram sehingga ke akar umbinya.

Dalam perkembangan sama, polis menahan 48 kaki judi termasuk sembilan wanita dan seorang lelaki rakyat Indonesia di sebuah rumah kedai di Bandar Putra Bertam di sini, Jumaat lepas.

Abdul Rahman berkata ketika serbuan pada 3.15 petang, mereka yang ditahan berusia antara 30-an hingga 70-an itu didapati sedang leka bermain judi dipercayai jenis belangkas.

Katanya polis turut merampas 200 cip pelbagai warna, tiga dadu, tujuh buku nota, wang pertaruhan berjumlah RM599 selain menyita wang yang dibawa kaki judi berkenaan berjumlah RM44,065.

Beliau berkata 31 daripada mereka yang ditahan akan disambung reman untuk siasatan lanjut manakala 17 orang mengaku bersalah di mahkamah.

"Ini antara tangkapan terbesar tahun ini dan premis yang disewa itu didapati baru sahaja beroperasi beberapa hari," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata IPD SPU melancarkan operasi menghantar bantuan kepada mangsa banjir di pantai timur dengan fasa pertama melibatkan lima kenderaan pacuan empat roda yang telah bertolak ke Kelantan hari ini.

"Orang ramai yang berminat menghulur sumbangan berupa barangan keperluan harian dan kelengkapan lain boleh berbuat demikian di IPD SPU yang beroperasi 24 jam," katanya. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS