Kejayaan

283 KARTON ROKOK, 190 KAYU BALAK DIRAMPAS MARIN SARAWAK


Miri, 27 Feb – Sebanyak 283 karton rokok putih dirampas dalam satu serbuan Op Landai oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima di Terminal Bot Ekspress Kuala Balam, dekat sini pagi tadi.

Menurut Timbalan Komander PPM Wilayah Lima Supt Mohd Yazib Abd Aziz, dari maklumat awam yang diperoleh, polis menemui enam buah kotak yang dibungkus dengan plastik berwarna hitam dan diletakkan di atas jeti.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kotak berkenaan mengandungi rokok putih pelbagai jenama yang tidak bercukai,” terang beliau.

“Kesemua rokok tersebut yang dianggarkan bernilai RM 32,984 dibawa ke Balai Polis Lutong dan kes dirujuk di bawah Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada Jabatan Kastam Bahagian Miri untuk siasatan dan tindakan selanjut.

Sementara itu, PPM Wilayah Lima merampas sebanyak 190 batang kayu balak pelbagai jenis dan saiz di Sungai Mejau, Tatau, Bintulu selepas pemeriksaan lanjut mendapati terdapat aktiviti penebangan kayu balak secara haram yang dilakukan di kawasan tersebut.

“Kayu-kayu balak yang diperiksa didapati tidak mempunyai cop oleh pihak Jabatan Perhutanan dan diikat seperti rakit bagi memudahkan ia dibawa keluar dari kawasan tersebut.

“Kayu-kayu tersebut yang dianggarkan bernilai RM50,000 kemudiannya diserahkan kepada Jabatan perhutanan untuk tindakan lanjut,” jelas Mohd Yazib lagi.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS