Kejayaan

1,006 KAYU BALAK DIRAMPAS MARIN SARAWAK

Miri, 17 Mac – Kayu balak dan beberapa buah jengkaut antara berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Hutan Sarawak di Sungai Tinjar, Long Sepiling hari ini.

Komander PPM Wilayah 5, ACP Kalai Chelvan Nadarajan berkata, risikan selama empat hari dijalankan pihak polis dalam Op Pensura itu mendapati terdapat aktiviti pemunggahan kayu balak berlaku di kawasan terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi tersebut mendapati sejumlah 1,006 batang kayu balak pelbagai jenis dan saiz telah dipunggah dari hutan ke tepian Sungai Tinjar.

“Selain itu, pihak polis juga menemui lebih kurang tujuh buah jengkaut pelbagai jenis yang digunakan untuk kerja-kerja pembalakan,” katanya.

Kesemua hasil rampasan dianggarkan bernilai RM870,000 diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sarawak Bahagian Miri untuk disiasat di bawah Seksyen 85(1) Ordinan Perhutanan Sarawak.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS