Kejayaan

LANGGAR SYARAT LESEN, PEMILIK BOT DITAHAN


Pelabuhan Klang, 22 Jun - Seorang pemilik bot ikan ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 di Laut Bagan Hailam, di sini, tengahari tadi.

Komander PPM Wilayah 1, ACP Mohd Yusof Abdullah berkata, pihaknya telah menahan dan memeriksa sebuah bot ikan yang sedang dalam perjalanan dari Pulau Ketam ke Pelabuhan Klang.

"Pemeriksaan lanjut mendapati pemilik bot, seorang lelaki warga tempatan berumur 36 tahun telah menggunakan pekerja asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia di dalam botnya.

"Kami turut menahan tekong dan awak-awak untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985," katanya lagi.

Dalam kejadian berasingan, seorang pemilik bot penumpang ditahan kerana membawa lebihan penumpang daripada yang ditetapkan, petang semalam.

ACP Mohd Yusof berkata, bot penumpang tersebut yang dalam perjalanan dari Pulau Ketam ke Pelabuhan Klang itu membawa seramai 46 penumpang daripada jumlah yang dilesenkan.

"Sepatutnya bot penumpang tersebut hanya perlu membawa 25 orang sepertimana ditetapkan dalam lesen dan mereka juga dilihat tidak memakai jaket keselamatan semasa menaiki bot berkenaan," jelas beliau lagi.

Lelaki yang berumur 55 tahun itu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 9(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS