Kejayaan

MARIN P.PINANG CATAT 207 KES TANGKAPAN BAGI TEMPOH JANUARI HINGGA JULAI

George Town, 25 Julai - Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang melakukan 207 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang, Supt Dimin Awang berkata penangkapan di bawah Akta Perikanan 1985 menunjukkan jumlah tertinggi dengan 63 kes, diikuti Akta Imigresen 1959/63 (48 kes) dan Akta Perkapalan Saudagar (15 kes).

Manakala Akta Kastam 1967 (lima kes), Kanun Keseksaan (tujuh kes), Akta Dadah Berbahaya 1952 (16 kes), Akta Kawalan Bekalan 1961 (tiga kes), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (lapan kes), Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007(empat kes) dan lain-lain membabitkan 38 kes, katanya.

"Pihak kami memandang serius mengenai kesalahan yang dilakukan di perairan negara ini. Kami bukan sahaja memberi fokus kepada tangkapan pendatang tanpa izin tetapi juga terhadap kesalahan lain mengikut perundangan persekutuan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengesan kesalahan serius dilakukan oleh pengusaha bot pelancong di perairan Teluk Bahang dan Batu Feringgi yang tidak menyediakan jaket keselamatan kepada para pelancong dalam dan luar negara sekali gus membahayakan keselamatan mereka.

Sementara itu, Dimin berkata pihaknya menahan 12 orang nelayan warga Indonesia termasuk dua tekong dan merampas dua buah bot bernilai RM50,000 setiap satu serta 300 kilogram ikan pelbagai jenis dalam Ops Gelora Khas pada pukul 1 tengah hari semalam.

Beliau berkata bot nelayan itu ditahan di kedudukan 50.6 batu nautika dari laut Pulau Kedidi Pulau Pinang, dekat sini selepas menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia.

Katanya tekong bot boleh dikenakan denda sebanyak RM1 juta manakala awak-awak RM100,000 jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 selain bot mereka turut dirampas.

Mengenai Ops Gelora Khas yang dijalankan sejak 11 Mei lepas hingga semalam, Dimin berkata pihaknya membuat tangkapan sebanyak 36 kes, iaitu Zon Langkawi sebanyak lapan kes dan Pulau Pinang, 28 kes.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara boleh menghubungi Pasukan Polis Marin Wilayah 1 di talian 04-6558222, katanya.

BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS