Kejayaan

POLIS KELANTAN TUMPAS SINDIKET TAWAR 'DATUK PALSU'

Kota Bharu, 27 Julai - Polis berjaya menumpaskan sindiket menjual anugerah darjah kebesaran negeri Kelantan yang membawa gelaran 'Datuk' selepas berjaya menahan empat individu termasuk seorang wanita dalam serbuan berasingan di Selangor dan Kelantan, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata kesemua suspek berusia antara 51 dan 63 tahun manakala seorang daripada suspek lelaki yang berasal dari Kelantan merupakan kerabat diraja negeri ini.

"Gelaran ini memang tidak wujud tetapi mereka telah memperdaya mangsa-mangsa dengan membayar antara RM60,000 dan RM120,000 untuk mendapat gelaran ini.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai aktif sejak tahun lalu (2014) dengan menipu dan memperdayakan orang ramai terutamanya ahli perniagaan untuk mendapatkan gelaran tersebut," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini, hari ini.

Mazlan berkata penganugerahan yang dilakukan sindiket berkenaan bertempat di hotel di Kelantan dan Selangor dan sebanyak lapan mangsa telah menjadi mangsa penipuan tersebut.

"Mereka mendakwa bahawa Persatuan Kerabat Diraja Kelantan diberi kuota untuk memberi gelaran Datuk kepada orang ramai dengan menunjukkan watikah, kad pengenalan, dan logo," katanya.

Mazlan berkata kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang dengan menawarkan gelaran yang tidak wujud dan tidak sah.

Katanya dengan penahanan empat individu terbabit beliau yakin tiada lagi saki baki sindiket dan mangsa terlibat.

Pihak polis menasihatkan orang ramai yang ghairah untuk mendapatkan gelaran 'datuk' supaya menyemak terlebih dahulu dengan pihak polis atau Persatuan Kerabat Diraja Kelantan supaya mereka tidak mudah ditipu dengan sindiket seperti ini. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS