Kejayaan

WARGA NIGERIA DALANGI SINDIKET EDAR DADAH

Kuala Lumpur, 28 Ogos - Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga asing selepas menahan empat lelaki dalam tiga serbuan berasingan di Lembah Klang semalam.

Dalam operasi yang bermula pukul 2 pagi dan berakhir pada 12 tengah hari itu, anggota dari Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) merampas 58 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja seberat 56 kilogram bernilai
RM500,000.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata mereka yang ditahan ialah tiga warga Nigeria berusia antara 24 dan 34 tahun serta seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun.

"Dalam serbuan pertama, kita berjaya tahan tiga warga asing di sebuah rumah di Cheras yang soal siasat membawa kepada penemuan ganja yang disimpan oleh kumpulan ini.

"Mereka menyimpan ganja berkenaan di dalam but kereta yang diletakkan di sebuah apartmen di Puchong. Kemudiannya anggota kita menahan seorang lagi suspek warga tempatan di Sungai Way," katanya dalam sidang media di Bukit Aman
di sini, hari ini.

Mohd Dzuraidi berkata siasatan awal mendapati dua daripada lelaki warga Nigeria yang ditahan itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah tetapi telah tamat tempoh.

"Seorang lagi rakan suspek pula tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata kumpulan itu beroperasi sejak enam bulan lepas dan bekalan ganja yang dirampas adalah untuk pasaran di Lembah Klang.

"Kumpulan ini memperoleh bekalan dadah daripada negara jiran dan kita percaya lelaki tempatan menjadi 'keldai' di mana dia diupah untuk membawa bekalan dari sempadan negara ke Kuala Lumpur," katanya.

Mohd Dzuraidi berkata kesemua suspek direman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata dalam tempoh Januari sehingga 26 Ogos lepas, seramai 346 orang warga asing telah ditahan atas kesalahan mengedar dadah. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS