Kejayaan

DUA RAKYAT TEMPATAN, 13 WANITA ASING DITAHAN DALAM 'OP HIBURAN'

Johor Bahru, 30 Ogos - Seorang lelaki dan wanita tempatan serta 13 wanita warga asing ditahan dalam 'Op Hiburan' di sebuah pusat hiburan di Taman Austin Perdana, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, ACP Zulkifli Ali berkata, lelaki dan wanita tempatan terbabit didapati positif dadah, manakala kesemua wanita asing itu bekerja di negara ini tanpa permit yang sah.

"Operasi dilakukan pada 1.15 pagi (Ahad) oleh JSJN bersama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

"Sebanyak 38 pengunjung berumur 17 hingga 54 tahun diperiksa untuk saringan awal air kencing. Hasil ujian mendapati lelaki serta wanita (tempatan) terbabit positif dadah," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Zulkifli berkata, lelaki dan wanita itu kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kesemua wanita asing itu disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata, pihaknya turut mengambil tindakan ke atas premis itu mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor 1998 dan Seksyen 55(b) Akta Imigresen 1959/63 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen hiburan sah serta melindungi warga asing dengan bekerja tanpa permit.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengunjung pusat hiburan supaya tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan polis akan terus komited bekerjasama dengan masyarakat bagi membanteras dadah.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS