Kejayaan

TUJUH LELAKI DITAHAN, 521 PIL METHAMPHETAMINE DIRAMPAS

Kota Bharu, 3 Sept - Polis Kelantan menahan tujuh lelaki dan merampas 521 pil methamphetamine bernilai RM20,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Cina, Kok Lanas, Selasa lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Supt Setapa Yusoff berkata, dalam serbuan pada 9.30 malam itu, polis turut menemui sebuah beg sandang mengandungi plastik dan dadah.

Hasil siasatan ke atas suspek yang berusia antara 19 dan 30 tahun itu, mendapati mereka dipercayai melakukan aktiviti pengedaran dadah secara kecil-kecilan untuk pasaran sekitar Ketereh sejak enam bulan lepas, katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini hari ini.

"Kami percaya mereka melakukan pengedaran secara sulit kepada rakan-rakan dengan mendapatkan bekalan melalui negara jiran," katanya.

Semua suspek ditahan reman sehingga 8 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952.

- BERNAMA


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS