Kejayaan

POLIS TAHAN 11 LELAKI TERBABIT JUDI DI CAMERON HIGHLANDS

 

Kuantan, 28 Okt - Polis menahan 11 lelaki dipercayai terlibat kegiatan perjudian berbentuk simulator dan mesin slot di sebuah premis dekat Jalan Besar Ringlet, Cameron Highlands tengah malam tadi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah kesemua suspek berusia lingkungan 25 hingga 43 tahun itu ditahan dalam serbuan pada 12.30 malam selepas menerima maklumat awam.

"Dalam serbuan itu, seorang penjaga bersama lima pekerja premis ditahan dan pada masa sama lima lagi lelaki yang leka bermain mesin judi tersebut turut ditangkap," katanya.

Beliau berkata selain itu polis juga merampas 25 unit mesin judi slot video, tiga unit mesin judi simulator, lapan helai kertas catatan rekod niaga dan wang tunai RM5,450.

Datuk Raja Shahrom berkata semakan awal juga mendapati premis berkenaan tidak memiliki lesen perjudian yang sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (B) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 5 (1)(b) Enakmen Hiburan Negeri Pahang.

Serbuan itu dijalankan sepasukan anggota polis JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dengan kerjasama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands.

- BERNAMA


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS