Kejayaan

12 ANGGOTA SINDIKET LARIKAN KARGO PRODUK MAKANAN BERNILAI RM2 JUTA

Shah Alam, 29 Okt - Polis menumpaskan sindiket yang telah melarikan kargo produk makanan bernilai hampir RM2 juta milik sebuah syarikat multinasional sejak setahun lalu dengan penangkapan 12 lelaki tempatan di sekitar Selangor.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Siasatan) Bukit Aman, Datuk Hamza Taib berkata kesemua suspek berusia 18 hingga 46 tahun itu ditahan sejak Ahad lepas sehingga hari ini.

"Yang ditangkap termasuk perancang utama sindiket itu dan pembelinya", katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hamzah berkata polis menemui semula lapan tan produk bernilai kira-kira RM140,000 dan merampas dua buah lori kontena, telefon bimbit serta wang tunai hampir RM58,000.

"Risikan bermula 1 Okt melalui operasi yang dinamakan 'Ops Transporter' selepas kami menerima aduan dari syarikat multinasional ini yang mendapati sebahagian produknya hilang semasa dibawa dengan lori kontena dari gudang di Shah Alam ke Pelabuhan Klang.

"Kumpulan ini dipercayai mengeluarkan sebahagian kargo dari lori itu di satu lokasi di Klang sebelum perjalanan ke pelabuhan diteruskan," kata Hamza.

"Kami percaya sindiket itu menggunakan modus operandi yang sama dalam melarikan kargo milik syarikat multinasional lain," tambahnya.

Menurut Hamza, siasatan mendapati kes itu melibatkan pekerja logistik yang mempunyai pengalaman serta pengetahuan mengenai pergerakan produk syarikat itu dari gudang ke pelabuhan.

Beliau berkata kesemua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 407 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda.

Hamza juga berkata jabatannya menerima 923 laporan melibatkan kerugian bernilai RM1.03 bilion bagi kes pecah amanah di seluruh negara dari Januari hingga September lepas. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS