Kejayaan

BURUH DITAHAN MILIKI KOLEKSI RATUSAN DVD LUCAH

Besut, 24 Nov - Akibat memiliki 513 cakera padat digital (DVD) lucah, seorang buruh ditahan polis di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Renek, Jabi dekat sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Khaled Che Lah berkata bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik telah menyerbu rumah suspek berusia 47 tahun itu untuk mengesan dadah.

"Bagaimanapun semasa melakukan pemeriksaan, lain yang kita cari, lain yang kita jumpa di mana anggota penyiasat menjumpai 513 DVD lucah pelbagai tajuk yang tersimpan di satu sudut rumah itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya siasatan awal terhadap suspek mendapati beliau tidak di bawah pengaruh dadah dan dia turut mengakui kesemua DVD lucah itu merupakan koleksinya sejak beberapa tahun lalu.

Suspek kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut dan kesemua DVD lucah itu dirampas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 kerana memiliki filem lucah.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS