Kejayaan

POLIS: TIADA BELAS KASIHAN KEPADA PENGEDAR DADAH

POLIS: TIADA BELAS KASIHAN KEPADA PENGEDAR DADAH

Kuala Lumpur, 26 Nov –Kelicikan dua warga Afrika yang cuba menyembunyikan dadah jenis syabu bernilai RM 2 juta di dalam alat "Smart Balance Wheel" berjaya dikesan dan dipatahkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman dengan kerjasama pasukan Skuad Taktikal Khas Perisikan Narkotik (STING), Bukit Aman dalam dua serbuan berasingan di Kajang, Selangor, Isnin lalu.

YDH Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, Dato' Sri Mohd Mokhtar Haji Mohd Shariff dalam sidang media yang diadakan sebentar tadi berkata, kejayaan terbaru tersebut adalah hasil maklumat risikan dan siasatan serta intipan yang rapi oleh pihaknya dalam usaha untuk melumpuhkan saki baki kumpulan dadah awang hitam di sekitar Lembah Klang.

"Kesemua dadah disyaki jenis syabu seberat 10.2 kilogram tersebut telah dirampas dan semua tangkapan kini direman bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952" ujar beliau.

Terdahulu, beliau turut memaklumkan statistik kejayaan JSJN untuk tempoh bulan Januari sehingga bulan November 2015 yang lepas bahawa seramai 164,450 orang telah berjaya ditangkap dengan 6,293 orang daripadanya melibatkan tangkapan warga asing dengan nilai keseluruhan rampasan dadah bernilai RM 227.92 Juta.

YDH Dato' Sri Mokhtar sekali lagi menegaskan yang pihaknya akan berusaha untuk membanteras dan menghapuskan segala aktiviti penyeludupan serta pengedaran dadah yang melibatkan sindiket tempatan atau warga asing di negara ini.

"Najis dadah merosakkan masyarakat, justeru itu tiada belas kasihan kepada mereka yang terlibat di dalam sindiket seperti ini," tegas beliau




YDH Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, Dato' Sri Mohd Mokhtar Haji Mohd Shariff  mengendalikan sidang media JSJN.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS