Kejayaan

POLIS KELANTAN ANJUR PROGRAM KESEDARAN KEPADA PELAJAR IPT JAUHI DADAH

Machang, 20 Febuari 2016 - Polis Kelantan sedang melaksanakan program pencegahan dadah dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini, bagi memastikan golongan itu bebas daripada bahan terlarang itu.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Kelantan, ACP Fadzillah Abdul Ghani berkata pihaknya memandang serius
penglibatan mahasiswa dengan gejala dadah kerana mereka adalah pemimpin masa
depan.

"Polis memandang berat isu itu (dadah) kerana mahasiswa bakal menjadi pemimpin negara dan model kepada belia dan pelajar sekolah...mereka menjadi harapan masa depan negara," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program Larian Belia Benci Dadah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Machang di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga semalam, polis menahan empat pelajar IPT yang disyaki terlibat dengan dadah, berbanding tiga orang dalam tempoh sama tahun lepas.

Fadzillah berkata antara faktor menyebabkan mereka terlibat dengan dadah ialah terpengaruh dengan rakan sebaya, selain dadah mudah diperoleh kerana Kelantan bersempadan dengan negara jiran.

Selain program Larian Belia Benci Dadah, beliau berkata pihaknya akan menganjurkan banyak lagi program bagi memberi kesedaran kepada pelajar IPT supaya menjauhi dadah.

Mereka juga diminta menyalurkan maklumat kepada polis dalam usaha membanteras dadah, katanya.- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS