Kejayaan

500 KAYU BALAK TIDAK MILIKI PAS PEMINDAHAN DIRAMPAS DI BINTAGOR

Kuching, 21 Febuari 2016 - Sepasukan anggota dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak menumpaskan aktiviti pemunggahan kayu balak tanpa permit berikutan penahanan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia dan India dalam serbuan di Bintagor, kira-kira 400 kilometer dari sini, awal pagi tadi.

Komander PPM Wilayah Lima Sarawak ACP N. Kalai Chelvan berkata dalam serbuan
3.45 pagi itu, pihaknya turut merampas sebuah kapal, sebuah kren dan 500 batang kayu balak pelbagai saiz dan jenis dengan nilai keseluruhan RM2.01 juta.

Menurutnya ketika menjalakan tugas risikan hasil maklumat awam di kawasan Sungai Bintagor, operasi diketuai oleh ASP Pangji Eseng bersama-sama tujuh anggota telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah kapal. 

"Pemeriksaan ke atas kapal berkenaan iaitu Mega Line No. 5 mendapati kebanyakan nombor kayu tiada dalam senarai Pas Pemindahan yang sah, ini merupakan kesalahan di bawah Ordinan Perhutanan Negeri 2015," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Kalai Chelvan berkata berikutan itu, anggotanya telah bertindak merampas kayu balak bernilai RM160,000; sebuah kapal bernilai RM1.6 juta dan sebuah kren bernilai RM250,000.

Beliau berkata ketika siasatan dan rampasan dibuat, ketiga-tiga pekerja berkenaan berada di atas kapal tersebut. 

"Hasil siasatan, dua warga asing itu memiliki pasport dan permit kerja yang sah. Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Bintagor dan hasil rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sarawak Bahagian Sarikei untuk tindakan lanjut," katanya.- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS