Kejayaan

POLIS TAHAN TIGA LELAKI, RAMPAS SYABU BERNILAI RM17,000

Alor SetarALOR SETAR, 22 Febuari 2016 - Polis menahan tiga lelaki bersama 11 paket lut sinar disyaki berisi dadah syabu bernilai RM17,000 dalam sekatan jalan raya
di Plaza Tol Alor Setar Selatan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata ketiga-tiga suspek yang berumur antara 36 dan 41 tahun itu ditahan pada 1.30 tengah hari dalam Ops Bersepadu yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

"Semasa sekatan, kesemua suspek yang menaiki kereta Proton Wira ditahan kerana berada dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan pada badan kesemua suspek tidak menemui sebarang barangan salah.

"Namun, pemeriksaan lanjut di dalam 'dashboard' kereta terbabit telah menjumpai satu beg kecil hitam mengandungi 11 paket plastik lut sinar disyaki syabu bernilai RM17,000," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Turut dijumpai ialah dua paket plastik lut sinar sejumlah heroin yang  dianggarkan bernilai RM300 serta dua biji pil disyaki erimin 5, katanya.

Adzaman berkata pihaknya turut merampas beg sandang milik seorang daripada suspek mengandungi wang tunai RM2,200, disyaki hasil jualan dadah.

"Semua barangan itu dirampas dan suspek dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan selanjutnya.

"Hasil siasatan mendapati, dua daripada mereka mempunyai rekod lampau melibatkan kes dadah dan ugutan," katanya.

Kesemua mereka direman sehingga Sabtu bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS