Kejayaan

POLIS TAHAN PASANGAN KEKASIH SAMUN WARGA NEPAL

Shah Alam, 23 Febuari 2016 - Polis menahan sepasang kekasih kerana disyaki menyamun seorang lelaki warga Nepal di Seksyen 23 di sini pada 14 Feb lepas, dalam dua tangkapan berasingan semalam.
 
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata dalam tangkapan pertama pukul 1.30 tengah hari itu, suspek lelaki warga tempatan berumur 26 tahun diberkas ketika memandu kereta jenis Proton Iswara berwarna biru di Jalan Hulubalang, Klang dekat sini.
   
Katanya susulan tangkapan itu, kekasihnya yang berumur 24 tahun pula ditahan dua jam kemudian di hadapan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan hasil soal siasat mendapati kedua-duanya mengaku melakukan kegiatan samun berkenaan.
   
"Kejadian samun itu berlaku ketika mangsa dan seorang rakan lelaki sedang berjalan menuju ke klinik di Seksyen 19 sebelum didatangi kedua-dua suspek menaiki kereta Proton Iswara.

"Suspek dikatakan mengacukan pisau kepada mangsa dan memaksa beliau menyerahkan wang tunai selain mengugut lelaki itu supaya membawanya ke asrama
yang dihuninya dan ketika di sana, suspek mengambil semua barang milik warga Nepal berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shafien lagi, hasil siasatan mendapati mangsa mengalami kerugian wang serta barangan berjumlah RM5,000.

Beliau berkata siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek mendapati lelaki yang bekerja sebagai penarik kereta itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan dadah, gangguan seksual serta mencuri.

Suspek wanita yang bekerja di sebuah stesen televisyen berbayar itu pula mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, mencuri dan peras ugut.

Hasil ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine, katanya.

Beliau berkata soal siasat terhadap suspek masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS