Kejayaan

POLIS MARIN RAMPAS ROKOK DAN MINUMAN KERAS DALAM DUA KERETA

Johor Baharu, 24 Mac 2016 - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menemui pelbagai jenis rokok dan minuman keras yang dipercayai diseludup dari negara jiran dalam dua buah kereta di hadapan sebuah pasar raya di Pengerang, dekat Kota Tinggi, semalam.

Komandernya, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata dalam serbuan pukul 2.30 pagi
itu, pihaknya menemui 20,240 batang rokok, 309 tin dan 154 botol minuman keras
pelbagai bernilai RM65,000.

Beliau, dalam kenyataan di sini hari ini, berkata pihaknya berjaya mengesan kedua-dua buah kereta mencurigakan itu di parkir di hadapan pasar raya itu sebelum melakukan pemeriksaan selepas pemilik kereta gagal dikesan.

"Kesemua rokok dan minuman keras itu dijumpai di bahagian tempat duduk dan bonet kereta. Kedua-dua kenderaan itu turut dirampas dengan menjadikan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM85,000," katanya.

Katanya barang rampasan itu dibawa ke Balai Polis Pengerang untuk tindakan susulan di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS