Kejayaan

POLIS TUMPASKAN GENG 'BLACK', SELESAIKAN 35 KES CURI MOTOSIKAL

Serdang, 21 April 2016 - Polis menumpaskan geng 'Black' yang aktif menjalankan kegiatan mencuri motosikal di sekitar Lembah Klang berikutan tertangkapnya lapan individu termasuk seorang wanita di Serdang, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata  dengan kejayaan menahan kesemua suspek yang berumur 25 hingga 35 tahun itu di Serdang Raya di sini, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 35 kes curi motosikal. 

Sebelum itu, dua anggota geng terbabit ditahan di Serdang Raya ketika cuba mencuri sebuah motosikal pada pukul 3 pagi hari yang sama.

"Hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek itu telah membawa kepada penahanan enam lagi individu di beberapa tempat di sekitar Serdang," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini, hari ini.

Sementara itu, Megat Mohd Aminuddin berkata polis juga menahan dua daripada tiga anggota geng 'Amy Keju' yang cuba menyamun seorang wanita menggunakan parang di kawasan perumahan Jalan Tiong, Puchong pada kira-kira 6.45 petang, hari yang sama.

Kedua-dua suspek berumur 25 dan 29 tahun itu dapat ditangkap anggota polis peronda yang menjalankan rondaan di kawasan itu manakala seorang lagi dapat melarikan diri.

Megat Mohd Aminuddin berkata kumpulan ini aktif menjalankan kegiatan samun di kedai serbaneka 24 jam, kawasan perumahan dan stesen minyak. 

Katanya kumpulan ini melakukan kegiatan samun dengan memakai beberapa helai
baju yang akan dibuang satu demi satu selepas menyamun selain menggunakan nombor pendaftaran motosikal berbeza.

"Ini bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa selepas melakukan samun dan
mereka ini agresif," katanya. 

Megat Mohd Aminuddin berkata kesemua anggota kedua-dua kumpulan itu kini direman untuk membantu siasatan. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS