Kejayaan

DUA BERANAK DITAHAN SUSULAN PENEMUAN STOR SIMPAN DADAH BERNILAI RM6.3JUTA

Seremban, 25 April 2016 - Dua beranak ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan sebuah rumah di Nilai, dekat sini yang dijadikan stor menyimpan pelbagai jenis dadah bernilai RM6.3juta pada Khamis lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata seorang lelaki berusia 52 tahun dan anak lelakinya berumur 33 tahun ditahan di Pulau Penang kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi. 

"Kedua-duanya dipercayai mempunyai kaitan dengan dadah yang ditemui dan kita kesan suspek berdasarkan maklumat kereta dipandu mereka pernah melalui kawasan
terbabit," katanya.

 Jaafar berkata stor itu ditemui di sebuah flat di Taman Semarak, Nilai dalam serbuan yang dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) daerah Nilai, kira-kira pukul 4.40 petang Khamis lepas.

"Dalam serbuan itu, kita menemui pelbagai jenis dadah iaitu heroin seberat 27 gram, 3.85kg syabu; 20kg serbuk ketamin; 5,700 pil eramin, 20,700 pil ecstacy, 3.1kg cecair pekat ecstacy; 446 serbuk ecstacy gram dan 19.1kg serbuk kodain.

"Selain itu, kita turut merampas mesin membuat tablet dan ketuhar," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Jaafar berkata ketika serbuan, stor itu dilihat telah lama ditinggalkan dan susulannya, pemantauan selama beberapa hari telah dijalankan sebelum mengesan dua beranak berkenaan. 

"Suspek disyaki mempunyai kaitan dengan dadah yang ditemui dan kita kesan suspek berdasarkan maklumat bahawa kereta dipandu suspek pernah melalui kawasan
terbabit," katanya. 

Beliau berkata stor itu telah digunakan sejak setahun lalu bagi menyimpan dadah yang dipercayai untuk bekalan bukan sahaja di negeri ini, malah turut untuk edaran di Lembah Klang.

"Berdasarkan rampasan, kita percaya stor ini dijadikan tempat menyimpan sahaja dan kita tidak menemui sebarang alat atau bahan untuk memproses dadah," katanya sambil menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Dalam perkembangan lain, Jaafar berkata tangkapan melibatkan kes dadah merekodkan peningkatan bagi tempoh 1 Jan hingga 22 April tahun ini iaitu 2,873
tangkapan berbanding tempoh sama pada tahun lepas sebanyak 2,757.

"Tangkapan bagi kategori bekalan juga menunjukkan peningkatan iaitu 188 tangkapan berbanding 175 pada tahun lepas.

"Bagi kategori penyalahgunaan dadah, sebanyak 1,427 tangkapan tahun ini dibuat berbanding 1,326 pada tahun lepas," katanya.
 
Jaafar berkata secara keseluruhan JSJN Negeri Sembilan berjaya menangkap seramai 25 pengedar dadah mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (LLPK) 1985 berbanding 23 pengedar bagi tempoh sama tahun lepas. -BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS