Kejayaan

POLIS TAHAN 24 LELAKI DIPERCAYAI PENGEDAR DADAH

Alor Setar, 26 Mei 2016 - Polis menahan 24 lelaki berumur antara 20 hingga 30-an dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar dadah di sekitar daerah Kota Setar menerusi Op Sarang yang dilaksanakan sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata dalam operasi bermula 1 Mei lepas, sebanyak 15 serbuan dijalankan melibatkan pemeriksaan terhadap lebih 1,000 orang.

"Hasil operasi yang dijalankan di sekitar Alor Setar, Kuala Kedah dan Pokok Sena dalam tempoh 25 hari itu, kita telah merampas pelbagai jenis dadah termasuk heroin, syabu, ganja dan eramin 5 yang bernilai RM50,000.

Seramai 24 lelaki juga telah ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati. Ada antara lelaki yang ditahan mempunyai rekod lampau yang melibatkan kes dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kota Setar di sini hari ini.  

Katanya, masyarakat setempat diharap dapat membantu polis untuk menyalurkan maklumat berkaitan pengedar dadah yang sedang aktif di kawasan masing-masing
bagi membolehkan operasi membanteras gejala negatif itu dijalankan.

Sementara itu, Mohd Rozi berkata polis telah menahan dua jurujual berumur 25 dan 30 tahun pada 18 Mei lepas dalam kes berasingan kerana menjalankan kegiatan menjual barangan elektrik yang dicuri daripada kedai.

"Kedua-dua suspek lelaki yang bekerja di sebuah kedai barangan elektrik di Alor Setar dikesan telah menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu di mana sebanyak 39 barangan elektrik termasuk peti sejuk dan mesin basuh yang bernilai RM20,000 telah dicuri.

Suspek menggunakan modus operandi dengan menjual barangan tersebut dengan harga murah kepada masyarakat kampung di sekitar Pokok Sena, Kuala Nerang dan
Yan. Kita dapati mereka turut memalsukan dokumen penjualan dan majikan suspek
yang menyedari kegiatan tersebut telah membuat laporan polis," katanya.

Beliau berkata sehingga kini polis telah menjumpai 11 item barangan yang dijual dan sedang mengesan baki 28 lagi barangan dan menyeru pembeli untuk tampil memberi maklumat kepada pihak polis dan sekiranya gagal tindakan akan dikenakan.

Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga esok dan akan disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau
denda, jika sabit kesalahan.- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS