Kejayaan

POLIS TAHAN PASANGAN SUAMI ISTERI DISYAKI EDAR DADAH DI KAWASAN ENDAU

Johor Baharu, 27 Mei - Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki pengedar dadah selepas menyerbu rumah mereka di Endau, dekat Mersing, malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Mersing DSP M.Kumar berkata lelaki berumur 50 tahun dan wanita berumur 45 tahun itu ditahan kira-kira 7 malam selepas pihaknya bertindak atas maklumat orang awam dan intipan selama 10 hari.

"Selain penahanan itu, polis turut merampas lapan paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin seberat 16.7 gram, sepaket plastik lut- sinar serta 13 tiub straw disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 15.33 gram yang ditemui di dalam sebuah bilik di rumah tersebut," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kumar berkata turut dirampas, beberapa jam tangan berjenama, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan dipercayai emas serta wang tunai berjumlah RM4,520.

Beliau berkata ujian saringan awal mendapati kedua-dua mereka positif dadah dan lelaki itu turut memiliki rekod berkaitan dadah. 

Katanya, heroin dan syabu terbabit dianggar bernilai RM3,500 dan ia dipercayai untuk kegunaan penagih di kawasan Endau.

Pasangan terbabit kini direman sehingga 2 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.-BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS