Kejayaan

POLIS MARIN TAHAN SEMBILAN PATI CUBA SUSUP KELUAR DARI KOTA TINGGI

Johor Baharu, 29 Mei 2016 - Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang menahan seorang tekong tempatan dan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai cuba menyusup keluar dari negara ini menerusi laluan tidak diwartakan di Bandar Penawar dekat Kota Tinggi semalam.

Komander PPM Wilayah Dua ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata tekong serta dua lelaki, enam wanita, seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia itu ditahan pada kira-kira 3.30 petang.
   
"Mereka ditahan ketika menaiki sebuah kereta Proton Waja di Ladang Tanjung Siang, Bandar Penawar," katanya menerusi kenyataan hari ini.
 
Kesemua mereka yang berumur di antara enam hingga 45 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Imigran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
   
Khiu menjangkakan pengaliran keluar PATI menerusi laluan tidak diwartakan dijangka meningkat pada Ramadan ini.
   
Sehubungan itu, katanya PPM akan meningkatkan kawalan dan rondaan di kawasan
tumpuan bagi membanteras kejadian berkenaan. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS