Kejayaan

POLIS TAHAN DUA LELAKI GENG CURI MOTOSIKAL DI BUKIT MERTAJAM

Bukit Mertajam, 29 Mei 2016 - Polis menahan dua lelaki dipercayai anggota geng curi motosikal dalam Operasi Pencegahan Jenayah yang dijalankan di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT), di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah SPT ACP Rusli Mohd Noor berkata dalam operasi bermula 10 malam hingga 2 pagi itu, pihaknya melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di Bukit
Mertajam dan menahan dua lelaki berusia 20-an.

"Siasatan awal mendapati dua lelaki yang bekerja sendiri itu dipercayai geng curi motosikal yang aktif di sekitar daerah ini dan polis kini sedang mengesan beberapa rakan mereka," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata susulan penahanan, polis merampas pelbagai rangka motosikal dan komponen yang dipercayai dileraikan untuk dijual dengan harga lebih murah.

Sementara itu, dalam operasi sama polis turut menahan lima lelaki berusia 20 hingga 39 tahun yang didapati positif dadah, termasuk seorang disyaki pengedar bersama sejumlah bahan terlarang berkenaan, katanya.

Rusli berkata salah seorang yang ditahan juga adalah suspek dikehendaki polis kerana terlibat dengan kes pukul dan mencederakan orang.

Beliau berkata selain itu seorang lelaki warga Indonesia berusia 51 tahun juga ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Tujuan utama operasi itu adalah untuk membendung kejadian kes kecurian motosikal, ragut, pecah rumah dan mengesan mereka yang terlibat dalam kejadian jenayah," katanya.

Beliau berkata operasi seperti itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha membendung jenayah, sekali gus mengoptimumkan keselamatan awam.- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS