Kejayaan

POLIS TAHAN LELAKI MENYAMAR PEKERJA TNB DAN PBAPP SAMUN WARGA EMAS

Bukit Mertajam, 29 Mei 2016 - Polis menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebelum menyamun warga emas dalam serbuan di sebuah rumah di Kubang Semang di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata suspek lelaki berumur 29 tahun yang sudah berkahwin itu ditahan sepasukan polis 
kira-kira 4 pagi tadi.

Katanya dengan penahanan suspek, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 12 kes samun di SPT dan suspek juga dipercayai terlibat kes yang sama di Seberang Perai Utara (SPU).

"Lelaki itu kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya.

Beliau berkata hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sejak beberapa minggu lepas, polis menyerbu rumah lelaki berkenaan dan ketika itu suspek cuba melarikan diri, namun gagal.

"Susulan penahanan lelaki itu, polis merampas sebuah telefon bimbit dan satu kad rawatan perubatan tertera lambang TNB dipercayai digunakan suspek ketika menyamun atau mencuri," katanya di sini hari ini.

Katanya siasatan awal mendapati modus operandi lelaki yang tidak bekerja itu adalah dengan menyamar sebagai petugas untuk menukar meter TNB atau PBAPP sebelum menyamun mangsa.

Rusli berkata lelaki itu dipercayai memantau dan mengenal pasti terlebih dahulu siapa yang berada di rumah mangsa sebelum melakukan jenayah dan kebanyakan mangsa adalah wanita warga emas.

"Jika mangsa tinggal bersendirian, suspek akan pergi menyamar sebelum menyamun barang-barang berharga milik mangsa," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai terutama warga emas yang tinggal bersendirian agar lebih berhati-hati dan tidak membenarkan orang asing masuk ke rumah.- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS