Kejayaan

POLIS PAHANG TUMPASKAN KUMPULAN 'AH FEI'

Kuantan, 23 Jun - Polis Pahang menumpaskan kumpulan 'Ah Fei' dianggotai tiga lelaki yang dipercayai melakukan samun berkumpulan yang
bersenjatakan parang panjang di bandar ini.

 Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 30 tahun ditangkap di tiga lokasi berbeza di Perak dan Pulau Pinang semalam. 

 "Polis melancarkan Op Ah Fei berasaskan nama ketua kumpulan itu dan bertolak ke Perak untuk memburu suspek. Tangkapan pertama dilakukan pada 7.50 malam di Parit Haji Amin, Jalan Parit Buntar, Perak. 

 "Ketua kumpulan itu pula ditangkap pada 10.15 malam di Taman Sutera Perai, Pulau Pinang manakala suspek ketiga ditahan di Lebuhraya Theian Teik, Bandar Baru Air Hitam, Pulau Pinang pada 11.30 malam," katanya di sini, hari ini.

 Raja Shahrom berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM4,000 dan tiga telefon bimbit daripada suspek, yang dipercayai mempunyai seorang lagi rakan subahat masih bebas bernama 'Edy'. 

Polis percaya penahanan suspek dapat menyelesaikan dua kes rompakan di negeri ini dan mereka dibawa ke Pahang untuk perintah reman mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata. 

 Ini termasuk kes samun sebuah kereta pada 3.30 petang, 15 Jun lepas yamg melibatkan tiga suspek bersenjatakan parang melanggar kereta dinaiki dua mangsa sebelum merampas beg silang berisi wang tunai RM30,000. 

 "Mangsa membawa wang tunai bagi urusan pembelian jentera pemotong buah kelapa sawit.Siasatan terhadap Ah Fei mendedahkan wang rompakan itu diagih-agihkan di antara RM3,000 ke RM5,000 setiap seorang," katanya. 

 Raja Shahrom berkata Ah Fei yang bekerja di kedai emas di Pulau Pinang juga seorang daripada empat lelaki yang menyamun sebuah kereta yang membawa barang kemas bernilai RM830,000 pada 6.15 petang 16 Dis tahun lepas di Lorong Bukit
Setongkol di sini.

Pihak polis juga mengenal pasti tiga lagi rakan jenayah Ah Fei yang masih bebas untuk tindakan selanjutya, tambahnya. - BERNAMA 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS