Kejayaan

POLIS MARIN RAMPAS 1,267 KARTON ROKOK SELUDUP BERNILAI RM232,474

Klang, 29 Jun - Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang merampas sebanyak 1,267 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM232,474 di kawasan perairan Sungai Langat dekat sini, pagi tadi.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, ACP Marzuki Che Shuib berkata dalam
operasi pukul 3 pagi itu, sepasukan polis marin yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan terserempak dengan sebuat bot dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika pasukan kami cuba menghampiri bot berkenaan, pengendali bot itu tiba-tiba memecut laju menuju ke kawasan hutan bakau sebelum melarikan diri meninggalkan bot itu.

 "Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut, kita telah menemui kira-kira 1,267 karton rokok di dalamnya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kata Marzuki lagi, antara rokok yang dirampas ialah rokok putih jenama Marlboro kotak putih, Marlboro kotak merah, Kingston dan Luffman.

Beliau berkata kesemua rokok yang dirampas serta bot pancung berkenaan kemudian dibawa ke jeti PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.

 Marzuki berkata, rampasan rokok itu adalah yang terbesar untuk PPM Pelabuhan
Klang pada tahun ini dan pihaknya akan meningkatkan lagi rondaan serta kawalan
khususnya di perairan Selangor terutama ketika musim perayaan ini.

"Kita yakin selain rokok, perairan ini juga digunakan oleh penyeludup untuk membawa barangan lain seperti mercun bagi musim perayaan tahun ini," katanya.- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS