Kejayaan

EMPAT LELAKI DITAHAN DIPERCAYAI PENGEDAR AIR KETUM

Seri Iskandar, 30 Jun - Polis menahan empat lelaki tempatan dipercayai pengedar air ketum dalam empat serbuan berasingan di sekitar Jejawi dan Kampung Gajah di sini hari ini dan semalam.
 
 Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Aziz Hassan berkata kesemua suspek
berkenaan disyaki menjual air ketum selepas menemui beberapa buah botol berisi
cecair disyaki air ketum dan beg plastik berisi daun ketum di kediaman masing-masing. 
 
Beliau berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Sungai Jejawi pada pukul 3.45 petang semalam, pihaknya menahan seorang lelaki berumur 54 tahun selepas menemui tiga tong plastik yang mengandungi 30 liter air ketum bernilai RM300 di dalam peti ais.
 
 "Dalam serbuan di rumah kedua pada pukul 4.15 petang di Jalan Sungai Dedap pula, pihak kami telah menahan seorang lelaki berumur 21 tahun selepas menemui satu guni berisi daun ketum seberat enam kilogram dan satu plastik lut sinar berisi daun yang sama seberat 3.2 kilogram," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Aziz berkata dalam serbuan yang ketiga pula, polis telah menahan seorang lelaki berumur 46 tahun di sebuah rumah di Kampung Gajah, kira-kira pukul 4.30 petang.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di rumah suspek, pihak polis berjaya merampas 19 botol air ketum seberat 28.5 liter dan satu plastik lut sinar berisi 4.1 kilogram daun ketum bernilai RM200.
   
"Serbuan keempat kemudiannya disambung pada hari ini di sebuah rumah di Sungai Dedap, kira-kira pukul 9.15 pagi tadi, dan pihak polis telah menahan seorang lelaki berumur 56 tahun.
 
"Pemeriksaan di rumah suspek mendapati suspek menyimpan satu tong seberat
10 liter dan satu tong seberat empat liter cecair yang disyaki air ketum," katanya.
   
Beliau berkata kesemua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. 
   
"Sekiranya didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM10,000 atau penjara empat tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS