Kejayaan

ENAM ANGGOTA SINDIKET EDAR SYABU DI SARAWAK DITAHAN

Bintulu, 22 Julai 2016 - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah disyaki syabu yang menggunakan kurier dari Semenanjung ke Bintulu berikutan penahanan enam suspek termasuk seorang wanita mengandung dalam dua serbuan di sini semalam.
Kesemua suspek berasal dari beberapa negeri di Semenanjung.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu, DSP Jame Reis berkata dalam serbuan yang dilakukan di dua kawasan perumahan di Jalan Tun Hussein Onn di sini, polis telah merampas dadah disyaki syabu seberat 880 gram bernilai harga pasaran kira-kira RM500,000.

Katanya ketika serbuan polis turut merampas empat buah kereta dan sebuah motosikal bernilai RM150,000.

"Kira-kira 12 tengah hari, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang diketuai oleh ASP Ismuni Umar telah melakukan serbuan pertama. 

"Di lokasi pertama anggota telah menahan sepasang suami isteri. Hasil pemeriksaan rumah tersebut polis telah menjumpai dadah disyaki syabu berat kasar 840 gram," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jame berkata ketika serbuan anak-anak pasangan tersebut seramai lima orang berusia satu hingga lapan tahun turut berada di rumah tersebut (dua lelaki, tiga perempuan), dan wanita tersebut disahkan mengandung dua bulan. 

"Berikutan kejayaan serbuan pertama kira-kira 1 tengah hari, pasukan yang sama telah menyerbu di lokasi kedua pula. Mereka telah menahan empat lelaki dan merampas dadah disyaki syabu berat kasar 40 gram yang diletakkan di dalam beberapa kotak rokok," katanya.

Beliau berkata semua suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini.

"Pasangan suami isteri itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Manakala empat lagi suspek disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntuk hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang
lima tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan," katanya.-BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS