Kejayaan

TIGA KUMPULAN PENJENAYAH DI TAIPING TUMPAS

Taiping, 22 Julai 2016  - Polis Taiping berjaya menumpaskan tiga kumpulan samun, pecah kedai/rumah dan ragut di daerah itu berikutan penangkapan anggota kumpulan berkenaan sepanjang bulan ini. 

Ketua Polis Daerah ACP Harrith Kam Abdullah berkata tiga kumpulan itu yang dikenali sebagai Kumpulan Wan Botak; Singgam dan Along dipercayai aktif melakukan jenayah di sekitar Taiping dan Kamunting sejak awal tahun ini. 

Menurutnya Kumpulan Along dianggotai empat penganggur lelaki diketuai individu dikenali sebagai Along berumur 23 tahun yang ditahan 14 Julai lalu.

"Along dan anggotanya yang berumur antara 19 dan 23 tahun masing-masing mempunyai rekod dadah serta jenayah dan tempoh reman mereka sejak 14 Julai lalu berakhir hari ini.  

"Semasa serbuan di sebuah rumah di Assam Kumbang, polis merampas beberapa barangan termasuk jam tangan, enjin motosikal, sekeping surat pajak gadai, 10 topi keledar serta enam telefon bimbit," katanya dalam sidang media di sini hari ini.  

Harrith Kam berkata Kumpulan Singgam pula terbabit dalam 11 kes pecah kedai/rumah serta satu kes curi motosikal di Taiping dan ia diketuai seorang lelaki dikenali sebagai Linggam berumur 33 tahun dan seorang rakannya berumur 30 tahun.

Katanya Linggam yang merupakan seorang pengganggur mempunyai empat rekod
jenayah, manakala rakannya juga seorang penganggur memiliki tujuh rekod jenayah
lampau selain positif dadah jenis methampethamie.
 
Mengenai Wan Botak, Harrith Kam berkata kumpulan yang dianggotai tiga lelaki berumur 25 hingga 30 tahun itu aktif di sekitar Kamunting dan ditahan 18 Julai lalu.

"Selain positif dadah, kumpulan ini juga mempunyai rekod jenayah selain dikesan terbabit dalam 12 kes samun bersenjatakan parang," katanya. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS