Kejayaan

POLIS TAHAN TIGA REMAJA LELAKI, RAMPAS SEJUMLAH DADAH

Johor Baharu, 30 Julai - Polis menahan tiga remaja lelaki dan merampas dadah sejumlah 359.48 gram dalam Ops Lejang di Jalan Sentosa,Kampung Seri Aman di Kempas di sini Khamis lalu.

 Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 19 dan 24 tahun ditahan ketika sedang menunggang motosikal, kira-kira pukul 7.30 malam.

 Katanya, sewaktu pemeriksaan dilakukan ke atas seorang daripada mereka, polis menemui dua ketulan mampat dedaun kering dipercayai dadah jenis ganja, disimpan di dalam sebuah beg galas berwarna kelabu.

"Dadah itu masing-masing seberat 259.49 gm dan 99.99 gm dan polis turut merampas sebilah gunting, pembungkus plastik dan sebuah motosikal jenis Yamaha dan satu anak kunci," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 
Beliau berkata berdasarkan ujian air kencing seterusnya, dua daripada suspek didapati positif dadah jenis kanabis dan pernah terlibat kes lampau berkaitan Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Dalam kes berlainan, dua lelaki berusia 25 tahun juga ditahan susulan daripada makluman berlaku kejadian curi sebuah kereta di stesen minyak di Taman Impian Emas, Skudai di sini, pada pukul 5.40 petang semalam.

Mohd Taib berkata kedua suspek sebelum itu berjaya meloloskan diri bersama
kenderaan dicuri ke arah Seelong.

Bagaimanapun, selang kira-kira 20 minit kemudian polis ronda berjaya mengesan semula kedudukan kereta itu di Jalan Kempas-Seelong.

Namun begitu, polis terpaksa mengejar kenderaan suspek selama selama 10 minit sehingga ke Setia Tropika apabila suspek menyedari dikesan, sebelum akhirnya berjaya ditahan di Jalan Kempas Baru, lantaran kenderaan dinaiki melanggar tiga buah kenderaan orang awam.

 "Suspek pada mulanya melarikan diri tetapi berjaya diberkas di kawasan semak berhampiran. Insiden menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan manakala seorang anggota peronda polis pula tercalar di tangan dan lutut ketika menangkap suspek," katanya.- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS