Kejayaan

POLIS SERBU EMPAT PREMIS CUBA HIDUPKAN SEMULA KEGIATAN JUDI SIBER

Seremban, 29 Ogos - Polis menahan sembilan lelaki selepas dipercayai cuba menghidupkan semula aktiviti perjudian siber di empat premis di daerah ini semalam.

 Ketua Polis Daerah ACP Muhamad Zaki Harun berkata dalam Ops Dadu Khas enam
jam yang bermula pukul 5 petang itu, polis menahan kesemua lelaki yang berumur
18 hingga 58 tahun. Turut ditahan 11 pelanggan berusia 20 hingga 57 tahun, termasuk dua warga Indonesia dan seorang warga Myanmar.

 Hasil pemantauan, polis menyerbu empat premis di Taman Sri Mawar, Jalan Zaaba, Jalan Dr Ismail dan Kampung Baru Mambau di sini, yang dipercayai baru memulakan operasi judi siber itu tidak sampai seminggu, katanya.

 Dalam operasi yang disertai lebih 50 anggota dan pegawai, polis merampas wang tunai sebanyak RM8,885, 28 mesin simulator, 31 set komputer dan satu suis yang digunakan untuk menukar pemain," katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Sebelum ini, Negeri Sembilan dilaporkan bebas daripada sebarang aktiviti perjudian siber.

Muhamad Zaki berkata pihak polis akan berbincang dengan pihak Majlis Perbandaran Seremban, Tenaga Nasional Bhd dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd untuk tindakan selanjutnya terhadap premis yang terlibat.

"Pihak polis akan terus memantau untuk memastikan tiada kegiatan judi siber di daerah ini dan saya ingatkan kepada mereka ini, tiada kompromi dan tidak akan biarkan mereka teruskan aktiviti perjudian.

 "Saya juga menyeru masyarakat supaya sekiranya terdapat premis yang disyaki
menjalankan judi siber ini, boleh terus menghubungi bilik gerakan polis yang beroperasi 24 jam di talian 06-6014999," katanya.

 Beliau berkata bagi memastikan kegiatan haram ini diperangi habis-habisan, setiap ketua polis balai dikehendaki menghantar laporan bergambar kepada ketua polis daerah yang menunjukkan premis yang terlibat tidak lagi menjalankan kegiatan tersebut.
- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS