Kejayaan

13 GRO WARGA CHINA DITAHAN DI GEORGE TOWN

George Town, 31 Ogos 2016 - Tiga belas wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Midland Park, Jalan Burma di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata bertindak hasil risikan dan intipan sejak minggu lepas, sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) membuat serbuan di pusat hiburan berkenaan pada 11.30 malam.

"Semasa serbuan itu kebanyakan wanita warga asing berkenaan sedang leka melayan pelanggan dan ada yang menyedari kehadiran polis, cuba melarikan diri melalui laluan khas yang terdapat dalam pusat hiburan tersebut.

"Bagaimanapun tindakan mereka untuk melarikan diri dan bersembunyi itu gagal kerana polis terlebih dahulu mengepung kawasan berkenaan dan berjaya menahan 13 GRO tersebut," katanya di sini hari ini.

Katanya 13 wanita warga China berusia 19 hingga 34 tahun ditahan dalam operasi itu kerana tiada dokumen perjalanan diri dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Mior Faridalathrash berkata dalam Op Noda itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang bekerja sebagai penjaga di pusat hiburan berkenaan kerana menggaji serta melindungi warga asing bekerja tanpa permit yang sah.

Katanya semua mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk didokumentasi dan siasatan lanjut, sebelum 13 warga China berkenaan dihantar ke Depoh Tahanan Juru.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 55(B) Akta Imigeren 1959/1963 dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/1963, katanya.

"Operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha membendung aktiviti tidak bermoral dan kehadiran warga asing tanpa izin yang bekerja tanpa permit di negeri," katanya.- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS