Kejayaan

11 'GENG HAIRUL MANJOI' TERBABIT CURI MOTOSIKAL DI IPOH DITAHAN

IPOH, 19 Okt - Sebelas remaja 'Geng Hairul Manjoi' ditahan kerana terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal dalam beberapa tangkapan di sekitar Ipoh, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata kumpulan itu yang terdiri daripada remaja berumur 15 hingga 18 tahun yang tidak bersekolah dan dipercayai aktif sejak awal tahun ini.

Katanya semasa operasi, pihaknya turut merampas 14 motosikal, kerangka dan komponen motosikal yang dipercayai dicuri kumpulan berkenaan di kawasan pusat beli-belah di sekitar bandar raya ini.

"Modus operandi kumpulan berkenaan ialah mencuri motosikal yang tidak memasang kunci pendua atau kunci tambahan dengan menggunakan peralatan mencuri seperti pemutar skru, sepana dan pelbagai kunci pendua.

"Hasil siasatan mendapati motosikal yang dicuri di bawah 250cc serta berkuasa rendah itu ada di antaranya telah dihapuskan nombor casis dan ia dicuri untuk kegunaan kumpulan tersebut," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di Balai Polis Pasir Puteh, di sini hari ini.

Sum berkata susulan penahanan itu, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes curi motosikal di sekitar Ipoh.

Beliau berkata kesemua remaja terbabit yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau kini ditahan reman selama lapan hari sehingga Jumaat ini.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS