Kejayaan

DUA DITAHAN DALAM RONDAAN CEGAH JENAYAH DI BUKIT MERTAJAM

Bukit Mertajam, 29 Oktober 2016 - Polis menahan dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan menerusi Rondaan Cegah Jenayah di Jalan Kulim di sini, malam tadi.

Suspek berusia 30 dan 45 tahun diminta memberhentikan motosikal namun bertindak memecut laju untuk melarikan diri dari sekatan dalam kejadian jam 9.02 minit itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata suspek ditahan apabila motosikal dinaiki gagal dikawal lalu terjatuh.

"Kita memeriksa suspek berusia 30 tahun itu dan menemui satu keratan tiub berisi dadah jenis heroin seberat 0.30 gram di poket kanan seluar manakala sebilah pisau lipat ditemui di poket kiri.

"Tiada objek mencurigakan ditemui terhadap suspek kedua. Kedua-duanya dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan kecederaan akibat terjatuh dari motosikal," katanya di sini, hari ini.

ACP Nik Ros Azhan berkata, kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis morfin manakala motosikal dinaiki suspek didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Semakan awal mendapati kedua-duanya mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Sumber : Berita Harian Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS