Kejayaan

POLIS TUMPAS DUA GENG SAMUN, ENAM LELAKI INDONESIA DITAHAN

George Town, 6 November 2016 - Polis berjaya menumpaskan dua geng samun bersenjata yang aktif di daerah Timur Laut selepas menahan enam lelaki warga Indonesia dalam serbuan berasingan pada Jumaat dan semalam.

Ketua Polis Daerah Timut Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam
serbuan pertama pada Jumaat, polis menahan dua lelaki warga Indonesia berusia
20-an yang merupakan suspek utama geng samun dan mencederakan mangsa di Sungai Nibong, di sini.

"Dua lelaki terbabit bersama empat lagi rakannya yang masih bebas disyaki menyamun wang tunai dan telefon bimbit serta memukul seorang lelaki Nepal berusia 30-an di Halaman Paya Terubong 3 Nov lepas menyebabkan mangsa cedera di mata dan badan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dalam serbuan kedua semalam, beliau berkata polis menahan empat lelaki Indonesia berusia 20 hingga 30 tahun juga di kawasan Sungai Nibong.

"Berdasarkan siasatan, empat lelaki itu terlibat dalam beberapa kes samun bersenjata termasuk menyamun rakan senegara mereka di Relau dengan mengacukan sebilah pisau ke perut mangsa sebelum merampas pelbagai barangannya," katanya.

Mior Faridalathrash berkata polis juga sedang mengesan dua lagi anggota kumpulan itu yang juga warga Indonesia dan dipercayai mereka masih berada di negeri ini.

Sementara itu, katanya polis juga menahan empat lelaki geng curi motosikal yang aktif menjalankan kegiatan itu di sekitar George Town, di sini dalam beberapa serbuan di Bukit Mertajam, semalam.

Beliau berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis berjaya menahan seorang daripada mereka di sebuah rumah di Bukit Mertajam sebelum menahan empat lelaki berusia 21 hingga 23 tahun itu.

"Berdasarkan siasatan, mereka dipercayai terlibat sekurang-kuranganya empat kes curi motosikal di daerah Timur Laut termasuk yang terbaru di flat di Jalan Sungai, di sini pada 29 Okt lepas," katanya. - BERNAMA
   
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS