Kejayaan

EMPAT REMAJA LELAKI DITAHAN SAMUN, CABUL WANITA

George Town, 20 November 2016 - Polis menahan empat remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes samun dan cabul membabitkan seorang wanita di hadapan lif sebuah apartmen di Bukit Jambul, dekat sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata hasil risikan dan intipan, polis menahan empat remaja berusia 16 hingga 20 tahun itu secara berasingan di sekitar Sungai Nibong dan Gelugor pada Jumaat lalu.
 
"Dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 malam Khamis lepas itu, mangsa berusia 30-an merupakan pekerja swasta berada dalam lif sebelum tiga remaja lelaki turut masuk ke lif tersebut. 

"Apabila wanita itu keluar di tingkat 28, mereka turut mengekorinya. Seorang daripada remaja berkenaan memeluk dan mencium mangsa manakala rakannya mengambil beg tangan sebelum wanita tersebut merayu mereka memulangkan beg berkenaan," katanya.

Beliau berkata suspek memulangkan beg tangan mangsa dan hanya mengambil dua
telefon bimbit serta beg duit wanita itu yang mengandungi RM40 dan semasa kejadian berkenaan seorang daripada suspek turut membuka seluar untuk mencabul mangsa. 

Mior Faridalathrash berkata berdasarkan siasatan tiga daripada mereka yang ditahan itu memang terlibat dalam kejadian berkenaan manakala seorang lagi adalah pembeli telefon bimbit milik mangsa.

Katanya susulan penahanan mereka, polis merampas telefon bimbit yang disamun daripada wanita itu dan siasatan lanjut masih dijalankan. 

"Kesemua mereka yang sudah tidak bersekolah dan tidak bekerja itu kini direman sehingga 24 Nov ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 354 Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS